BOLA SEPAK
Piala Presiden: TFC III rampas tangga teratas
TFC III 2 PKNS FC 0
Juara bertahan Piala Presiden, Terengganu FC (TFC) III melonjak ke tangga teratas Kumpulan B selepas mengatasi PKNS FC 2-0 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, petang tadi.
Tuan rumah tidak menunggu lama untuk mendahului menerusi sepakan percuma Amirul Syazwan Nor Azmi pada minit ketiga yang berjaya mengelirukan penjaga gol lawan.
Iklan
Memasuki minit ke-17, Amirul Syazwan hampir menggandakan kedudukan, namun tandukannya hasil hantaran Muhammad Syaiful Haqim tinggi melepasi sasaran.
TFC III terus memberi tekanan dengan sepakan deras Wan Mohamad Fazli Wan Ghazali dari dalam kotak penalti dihalang penjaga gol, Muhammad Arif Izwan, pada minit ke-28.
PKNS FC yang sesekali melancarkan gerakan hanya menguji kubu tuan rumah melalui sepakan percuma Muhammad Fa'es Hafize (m-43) tetapi tidak berhasil.
Bersambung babak kedua, percubaan Wan Mohamad Fazli pada minit ke-50 dan 59 juga gagal melebarkan jaringan buat TFC III sebelum dia dikeluarkan.
Penyerang gantian, Muhammad Isa Raman melenyapkan perjuangan pelawat dengan gol kedua pada masa kecederaan bagi memastikan kemenangan 2-0 buat TFC III.
Tiga mata itu membolehkan TFC III melonjak dari tangga ketiga selepas Kuala Lumpur sekadar seri 1-1 dengan Akademi Mokhtar Dahari (AMD) B-17 manakala Felda United tumpas 1-4 kepada PKNP FC.
Must-Watch Video