Skip to main content

Bola Sepak

Piala Presiden: TFC III ke separuh akhir

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

piala-presiden-tfc-iii.jpg
TFC III 0 KELANTAN 0
(TFC III mara dengan peraturan gol tempat lawan menerusi agregat 3-3)

Naib juara tahun lalu, Terengganu FC (TFC) III, meneruskan kemaraan ke separuh akhir Piala Presiden menerusi kelebihan gol di tempat lawan selepas terikat 0-0 dengan Kelantan. 


Dalam aksi suku akhir kedua di Kuala Terengganu, petang tadi, tuan rumah hadir menerusi percubaan awal Muhammad Nur Isyraf Razali yang diselamatkan penjaga gol Kelantan, Mohammad Fikri Che Soh.

Berpunca daripada sepakan percuma Mohamad Azzrie Aripin, Kelantan menguji penjaga gol TFC III, Mohamad Shafawi Mohamad, namun tandukan Wan Mohamad Ridhwan Wan Deraman pada minit ke-10 mudah diselamatkan.

Setengah jam permainan berlangsung, bola lebih banyak berlegar di kawasan tengah padang dengan barisan pertahanan kedua-dua pasukan saling mematahkan serangan lawan masing-masing.

Keadaan itu memaksa pemain sayap TFC III, Mohammad Rahmat Makasuf, melepaskan sepakan dari luar kotak penalti pada minit ke-37 yang sekadar tersasar ke sebelah tepi.

Jaringan dicari-cari tuan rumah hampir menjelma apabila Wan Mohamad Fazli Wan Ghazali (m-39) menanduk kemas sepakan sudut Mohammad Ridzuan Mohd Razali, malangnya mengenai tiang gol Kelantan.

Sekali lagi tiang menafikan rembatan Muhammad Izzan Syahmi pada minit ke-52 sebelum tindakan susulan Wan Mohamad Fazli ditangkap kemas penjaga gol lawan.

Kelantan memperkemaskan rentak dengan giliran penyerang, Nik Azli Nik Alias, mencemaskan kem tuan rumah pada minit ke-56, begitupun voli dilakukan pemain itu di depan pintu gol TFC III tersasar.

Tekanan demi tekanan dilancarkan Kelantan gagal menembusi kubu tuan rumah diketuai kapten, Mohammad Aqil Irfanuddin, dan kedudukan 0-0 kekal sehingga wisel penamat.

TFC III bimbingan Badrul Hafzan Razali akan membuat perhitungan dengan JDT III manakala Kedah akan bertemu Felda United dalam separuh akhir, 16 dan 20 Oktober depan.

Keputusan lain:

KEDAH 0 PKNP FC 1 (Kedah mara dengan peraturan gol tempat lawan menerusi agregat 2-2)

JDT III 3 UiTM FC 1 (JDT II mara dengan agregat 4-1)

FELDA UNITED 1 SABAH 1 (Felda United mara dengan agregat 3-2)

 

Advertisement

Must Watch Video