PIALA PRESIDEN

Piala Presiden: Terengganu sebelah kaki ke final

Tengku Danish Bahri 08/09/2019 | 11:53 MYT
TERENGGANU FC III 2 PERAK 1
Juara bertahan, Terengganu FC (TFC) III, bangkit daripada ketinggalan untuk mengatasi Perak 2-1 dalam separuh akhir pertama Piala Presiden di Kuala Terengganu, sebentar tadi.
Hujan yang turun ketika 10 minit permainan berlangsung begitupun merencatkan tempo dengan hantaran kurang cermat dan tidak menjadi dipamerkan kedua-dua pasukan.
Keadaan padang becak turut menyebabkan peluang TFC III pada minit ke-29 disia-siakan Amir Ashraf Hussin apabila percubaan pemain tengah itu jauh tersasar.
Tuan rumah mulai garang sebaik cuaca kembali reda dan rembatan bek kanan, Muhd Alif Zakaria (m-36) dari dalam kotak penalti hampir saja memberikan gol pembukaan.
Peluang itu disusuli sepakan percuma pemain sayap, Amirul Syzwan Nor Azmi, yang tepat ke arah penjaga gol lawan, Syakir Danial Ma'amal Hajri.
Kubu pelawat dicemaskan lagi dalam masa tambahan babak pertama, mujur Aidril Faqir Yousni sempat menghalang percubaan Amirul di depan pintu gol Perak.
Berbeza dengan 45 minit pertama, tiga gol dihasilkan selepas rehat, bermula dengan gol pembukaan Perak pada minit ke-50.
Abdul Razak Mastor bijak melepasi perangkap ofsaid untuk melakukan sepakan leret menewaskan penjaga gol TFC III, sekali gus memberikan gol berharga di tempat lawan.
Tersentak dengan jaringan tersebut, TFC III meningkatkan tekanan dan memaksa Syakir menepis sepakan percuma Syaiful Haqim Shahrul (m-57).
Kedudukan berubah pada minit ke-69 apabila Syafiq Danial Romzi menanduk kemas hantaran lencong Syaiful dari sebelah kiri untuk mengikat jaringan 1-1.
Kesilapan benteng Perak membaca hantaran jauh Syafiq pada minit ke-76 dihukum pemain gantian, Afif Sufyan Azma, yang menghulurkan kaki untuk jaringan kedua TFC III.
Satu peluang dimiliki dalam masa kecederaan untuk kedua-dua pasukan, namun TFC III gagal membawa bekalan lebih selesa manakala Perak tewas buat kali pertama musim ini.
Kredit foto: Terengganu FC (TFC)
;