PIALA PRESIDEN
Piala Presiden: Misi serampang dua mata juara bertahan
Aksi separuh akhir Piala Presiden menentang Perak, minggu depan, menjadi misi serampang dua mata buat juara bertahan, Terengganu FC (TFC) III.
Menurut pengendalinya, Badrul Afzan Razali, TFC III mahu mencipta sejarah sekali lagi mara ke final, seterusnya mengekalkan kejuaraan buat kali pertama.
Turut menjadi sasaran Badrul adalah untuk melihat skuad bimbingannya menebus dua kekalahan di peringkat kumpulan, iaitu 0-1 di Kuala Terengganu serta 0-2 di Ipoh.
Badrul berkata rekod pertemuan yang berpihak kepada Perak tidak akan dijadikan halangan, sebaliknya menuntut TFC III mempamerkan belang sebenar selaku juara bertahan.
"Kami mahu membalas dendam di atas kekalahan sebelum ini selain mengimpikan penampilan dalam final dua kali berturut-turut.
"Peluang masih seimbang buat kedua-dua pasukan dan moral pasukan saya pastinya lebih baik apabila sudah sampai ke peringkat separuh akhir," jelasnya.
TFC III mengesahkan status selaku empat pasukan terbaik selepas mengatasi PJ City FC 2-0 menerusi agregat, Khamis lalu, untuk membuat perhitungan dengan Perak.
Apapun, Badrul turut menjangkakan aksi sengit dipamerkan TFC III dan Perak dengan pasukan lawan juga pastinya berazam mengekalkan rekod tanpa kalahnya musim ini.
"Saya berpuas hati dengan persembahan TFC III ketika mengalahkan PJ City FC dan saya harap pemain-pemain mengekalkan semangat juang yang sama," tambah Badrul.
Kredit foto: Terengganu FC (TFC)