Johor Darul Ta’zim (JDT) III selangkah lagi untuk mencipta hatrik Piala Presiden 2024.
Pasukan remaja Harimau Selatan B-20 itu mempamerkan magis tersendiri apabila memenangi perlawanan akhir pertama Piala Presiden 2024 selepas menewaskan Selangor 2-1 di Stadium MBPJ, malam tadi.
"Kami beraksi bagus dalam separuh masa pertama dan mengambil kesempatan menjaringkan gol pertama melalui lontaran ke dalam sebelum beroleh gol kedua.
"Namun, babak kedua berubah. Selangor mengatur permainan dan meletakkan kami dalam situasi sukar hingga dibolosi jaringan pertama.
"Kami beroleh kelebihan dalam pertemuan pertama untuk menjulang trofi. Jadi kami perlu terus bekerja keras," kata ketua jurulatih JDT III, Gonzalo Sanz Zaballos.
Pemain terbaik perlawanan, Muhammad Afiq Danish Zulkifli, turut mengakui bahawa skuad Selangor nyata berbeza dalam separuh masa kedua, sekali gus menyukarkan pemain JDT untuk mendominasi perlawanan.
"Masih banyak yang diperbaiki prestasi pasukan daripada segi teknikal dan takikal.
"Kami lambat sesuaikan diri dalam babak kedua hingga terikut-ikut dengan corak permainan Selangor," katanya.
JDT II akan membawa bekalan satu gol itu ke Pasir Gudang, Johor untuk perlawanan akhir kedua pada Rabu depan.
Kemenangan itu menyaksikan JDT terus mengekalkan rekod tanpa kalah sepanjang kempen Piala Presiden musim ini.
Shaiful Shamsudin
Thu Nov 07 2024