Skip to main content

Bola Sepak

Piala Presiden: Gol Zarulizwan pisahkan TFC III, PDRM

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

tfciii-3.jpg
Jaringan tunggal pemain sayap, Mohd Zarulizwan Mazlan, pada babak pertama sudah memadai buat Terengganu FC (TFC) III meraih tiga mata dengan mengatasi PDRM 1-0 dalam aksi Piala Presiden, petang tadi.

Dalam aksi di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin itu, tuan rumah rumah bermula garang melalui dua percubaan awal Zarulizwan (m-4) dan Mohd Aqil Irfanuddin (m-8) yang mencemaskan kem pelawat.

Penyerang skuad B21 negara, Muhammad Izzan Syahmi, turut berpeluang memberikan gol pendahuluan TFC III pada minit ke-17 namun tindakan penyudahnya mengenai jaring sebelah tepi.

Dominasi skuad kendalian Badrul Hafzan Razali itu diterjemahkan dengan jaringan Zarulizwan yang bijak menguis masuk bola untuk menewaskan penjaga gol lawan pada minit ke-32.

Tuan rumah terus mengasak dalam babak kedua dan hampir mengubah kedudukan, malangnya 
Muhamad Arif Izwan cemerlang menepis rembatan jarak dekat Izzan Syahmi pada minit ke-48.

PDRM tampak bergelut merencana gerakan untuk mengancam pertahanan TFC III dengan hanya sesekali menguji pintu gol lawan menerusi serangan balas yang berjaya dipatahkan.

Tiada tambahan jaringan menyaksikan TFC III kekal di kedudukan teratas Kumpulan B dengan 19 mata daripada tujuh perlawanan.

PDRM pula yang sudah beraksi lapan perlawanan, di tangga ke-10 hanya dengan tiga mata selain masih memburu kemenangan pertama mereka musim ini.
 

Advertisement

Must Watch Video