PIALA PRESIDEN
Piala Presiden: Badrul Afzan risau nasib juara bertahan
Ketua jurulatih Terengganu FC (TFC) III, Badrul Afzan Razali, mengakui gusar dengan aksi tidak konsisten juara bertahan Piala Presiden itu dalam pemburuan slot suku akhir.
Menurutnya, kecederaan dan penggantungan pemain telah menjejaskan TFC III yang berada di tangga ketiga, ketinggalan 10 mata di belakang pendahulu Kumpulan B, Perak.
Lebih mencemaskan apabila tiga pasukan, PKNP FC, Kuala Lumpur dan Akademi Mokhtar Dahari (AMD) pula mengekori TFC III dengan jurang mata yang rapat.
"Semua pasukan masih berpeluang merebut empat kedudukan teratas dan keadaan boleh berubah seandainya kami hilang fokus.
"Saya agak risau melihat rentak tidak konsisten dalam setiap perlawanan, terutama apabila pasukan ketiadaan tonggak," jelasnya.
Masih segar dengan kemenangan 6-1 ke atas PDRM, TFC III akan turun selaku pelawat bertemu Felda United, esok, sebelum bertandang ke Temerloh untuk menentang AMD pada Isnin ini.
Penggantungan pemain sekali lagi akan menjejaskan TFC III apabila beberapa tonggak mengutip kad kuning, seterusnya terlepas aksi berdepan Felda United.
"Pemain-pemain simpanan perlu menunjukkan kemampuan mereka serta meningkatkan keupayaan pasukan.
"Saya masih yakin dan percaya dengan pasukan ini untuk membawa enam mata maksimum pulang ke Kuala Terengganu," tambahnya.
Kredit foto: Terengganu FC (TFC)