BOLA SEPAK
Piala MFL: Terengganu FC II muncul juara
Terengganu FC II melakar kejutan apabila muncul juara Piala MFL mengatasi Johor Darul Ta'zim (JDT) II 1-0 di Stadium Cheras sebentar tadi.
JDT II membawa barisan pemain berpengalaman bagi memperkuat pasukan, penyerang Endrick dos Santos, Oscar Arribas serta pertahanan, Shane Lowry tersenarai dalam kesebelasan utama sementara Terengganu FC II hanya menurunkan seorang import, Jordan Mintah.
Dengan rekod pertemuan bagi kedua-dua perlawanan memihak TFC II, JDT II ternyata mahu memastikan pertemuan keempat menjadi milik mereka.
Iklan
Bagaimanapun, kualiti barisan pasukan kendalian Hairuddin Omar lebih terserlah di awal permainan, memperoleh peluang menguji gawang namun percubaan Jordan berjaya ditangkap kemas penjaga gol, Zulhelmi Shaarani.
JDT II pula turut menghadirkan peluang, rata-rata menerusi sepakan percuma untuk mencari Shane Lowry namun tiada jaringan berjaya terhasil sebelum separuh masa pertama tamat tanpa sebarang jaringan.
Skrip sama selepas separuh masa kedua bersambung, kedua-dua pasukan terus menggunakan taktikal dan strategi dalam usaha menguji benteng lawan namun tiada jaringan berjaya terhasil.
Kehadiran pemain gantian, Isa Raman, ternyata membuahkan hasil apabila bijak menggunakan kesilapan pertahanan JDT untuk melencong bola dari luar kota penalti sekaligus memastikan kemenangan Terengganu FC II.
Must-Watch Video