BOLA SEPAK
Piala MFL: Hairuddin Omar bangga semangat TFC II pastikan kejuaraan
Pengendali Terengganu FC II, Hairuddin Omar, meluahkan perasaan bangga atas usaha barisan pemain memastikan kejuaraan Piala MFL mengatasi Johor Darul Ta'zim (JDT) II sebentar tadi.
TFC II mencipta sensasi apabila memastikan kejuaraan Piala MFL, mengatasi JDT II yang menurunkan tiga pemain daripada skuad utama untuk aksi final malam ini.
Isa Raman menjadi wira pasukan apabila diturunkan sebagai pemain gantian, menggunakan peluang terhidang hasil kesilapan pertahanan lawan untuk meledak jaringan kemenangan di penghujung permainan.
Iklan
Merekodkan kemenangan keempat daripada empat pertemuan bagi musim ini, lebih manis kemenangan terbaru yang tercipta memastikan kejuaraan Piala MFL, Hairuddin meluahkan kebanggaan kepada barisan pemain atas semangat serta usaha untuk bergelar juara.
"Pertama sekali saya sangat bersyukur di atas kemenangan ini. Saya ingin mengucapkan tahniah dan berterima kasih kepada barisan pemain, yang beraksi ataupun di tepi padang, mereka telah memberikan yang terbaik buat pasukan.
"Kepada penyokong, terima kasih atas semangat mereka dan tanpa mereka, kami mungkin tidak berjaya mencapai kejayaan ini.
"Ini adalah kejayaan yang amat penting buat pasukan. Ini adalah langkah pertama bagi karier jangka masa panjang barisan pemain muda ini.
"Kami telah mencipta banyak peluang sejak permulaan permainan. Saya memberitahu barisan pemain bahawa pasukan mampu memastikan kemenangan, menghasilkan lebih banyak peluang, sudah pasti kemenangan akan memihak pasukan dan ia akhirnya berhasil."
Must-Watch Video