BOLA SEPAK

Piala Menteri Pendidikan Tinggi: UniKL bangga pengembaraan berliku bergelar juara

Shaiful Shamsudin 12/10/2023 | 09:16 MYT
UKM 0 UNIKL 1
Universiti Kuala Lumpur (UniKL) muncul juara Piala Menteri Pendidikan Tinggi 2023 selepas menang tipis ke atas Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) hasil jaringan tunggal Youssouf Chaibou, malam tadi.
Ketua jurulatih UniKL, Mohd Zaharull Hamdan, mengakui berbangga dengan prestasi anak buahnya yang berhempas pulas di Stadium UKM ketika mengekang segala serangan yang diberikan oleh tuan rumah yang turut dikecewakan dalam perhitungan final musim lalu.
"Kami bersama-sama dan keserasian mudah dibentuk.
"Pemain tempatan dan import bermain dengan baik, mereka mengikut arahan jurulatih dengan betul," katanya.
Sementara itu, Timbalan Setiausaha Bahagian Perancangan Strategik Kementerian Pelajaran Tinggi (KPT), Datuk Pekan Ramli, berharap kejohanan seperti ini dapat membuka mata pasukan bola sepak profesional terhadap kualiti pemain yang berentap dalam Liga IPT.
"Saya difahamkan ada beberapa pemain telah membuka mata pasukan Liga Super.
"Kami memang mengharapkan pemain dalam kancah ini sampai ke peringkat tertinggi negara ini iaitu Liga Super.
"Kami menjemput pengarah teknikal FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) untuk melihat potensi pemain daripada Liga KPT ini untuk diserapkan dalam pasukan kebangsaan," katanya pula.
#UKM #UniKL #Piala Menteri Pendidikan Tinggi
;