BOLA SEPAK
Piala Menteri Pendidikan: Norizam bangga prestasi Arrayyan
'Bapak borek, anak rintik' -- itu mungkin perumpamaan terbaik bagi penyerang Johor Darul Ta'zim (JDT) B14, Arayyan Hakeem yang menjaringkan dua gol dalam final Piala Menteri Pendidikan.
Menariknya, ayah Arayyan merupakan bekas penyerang berbisa yang pernah meraih kasut emas Liga Malaysia 2001 iaitu, Norizam Ali Hassan, yang menghasilkan 16 gol ketika mewakili Perak.
Walaupun pasukan Arayyan tewas di final, dia tetap berbangga dengan apa yang dicapai oleh anaknya.
Iklan
"Pertama sekali saya mengucapkan tahniah kepada kedua-dua pasukan AMD dan JDT selepas mempamerkan permainan yang cukup cemerlang dalam aksi final ini," kata Norizam.
"Arayyan telah saya didik menceburi sukan bola sepak berusia empat tahun lagi.
"Dia telah mula menunjukkan minat beraksi di bahagian penyerang dan sebagai bekas penyerang bola sepak, saya telah cuba mencurahkan pengetahuan dan pengalaman untuk dia terus beraksi cemerlang.
"Saya cukup berbangga dengan pencapaian Arayyan setakat ini. Saya mahu menyaksikan dia terus berkembang untuk terus memperbaiki lagi terutama daripada sudut sentuhan penyudah.
"Sebagai bekas pemain, sudah tentu saya mahu melihat Arayyan turut mengikut jejak langkah beraksi di peringkat tertinggi bola sepak Malaysia dan terus ke peringkat antarabangsa pada masa akan datang."
JDT mendahului dua jaringan menerusi Arayyan sebelum Iman Danish menghasilkan dua jaringan buat AMD menyamakan kedudukan sebelum melengkapkan hatrik untuk memastikan pasukannya bergelar juara.
Must-Watch Video