Skip to main content

Bola Sepak

Piala Mandiri ASEAN B-23: Ubai belum mahu kibar bendera putih

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

ubai-b-23.jpg
Kapten skuad B-23 tahun negara, Ubaidullah Shamsul Fazili, belum mahu mengibarkan bendera putih walaupun peluang pasukannya untuk mara ke separuh akhir Piala Mandiri ASEAN B-23 tampak sukar.

Ini selepas Harimau Muda tewas 0-2 kepada Filipina dalam aksi pembukaan Kumpulan A di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta semalam.

Dalam perlawanan itu, skuad negara menguasai hampir keseluruhan permainan tetapi buntu di depan gawang sehingga dihukum dengan dua gerakan serangan balas.

Dua gol daripada Otu Abang Banatao dalam separuh masa pertama sudah cukup untuk memastikan tiga mata buat The Azkals.

Dalam satu temubual bersama wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam, pertahanan Terengganu itu berkongsi mengenai prestasinya dan rakan sepasukan ketika berdepan Filipina, yang serba tidak menjadi ketika bertahan.

"Saya rasa kekurangan kami ialah tidak menggunakan peluang sebaik mungkin dan sudah pasti leka sewaktu bertahan sehingga dibolosi dua gol Filipina.

"Tetapi saya rasa ia satu pengajaran yang baik buat pasukan dan diri saya sendiri untuk bangkit bagi dua perlawanan akan datang.

"Seperti yang saya katakan, kami terlalu leka untuk menyerang sehingga lupa jarak kami sudah terlalu tinggi di atas sehingga membenarkan ruang yang besar buat lawan di bahagian bawah. Filipina pandai menggunakan peluang itu untuk menewaskan kami.

"Saya rasa peluang untuk ke separuh akhir masih ada cuma mahu tidak mahu, kami perlu memenangi dua perlawanan selepas ini kerana kami telah memilih jalan yang agak sukar.

"Selagi mana kita masih percaya, peluang itu masih ada," katanya.

Haimau Muda seterusnya akan berdepan Brunei pada Jumaat ini sebelum berdepan tuan rumah, Indonesia, pada Isnin depan.

 

Advertisement

Must Watch Video