Skip to main content

Bola Sepak

Piala Mandiri ASEAN B-23: Nafuzi bangga dalam kecewa

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

nafuzi-zain.jpg
Ketua jurulatih skuad B-23 negara, Nafuzi Zain, akui gagal dalam ujian sulungnya di pentas Piala Mandiri ASEAN B23, susulan tersingkir awal di peringkat kumpulan.

Selepas terikat tanpa jaringan dengan tuan rumah, Indonesia, dalam aksi terakhir Kumpulan A di Stadium Utama Gelora Bung Karno semalam, skuad negara menamatkan saingan pusingan awal itu di tempat ketiga dengan empat mata hasil satu kemenangan menentang pasukan di tangga tercorot, Brunei.

Terdahulu, Harimau Muda tewas 0-2 kepada Filipina dalam perlawanan pertama, sekali gus memiliki peluang tipis untuk meneruskan kemaraan.

Bagaimanapun, bekas tonggak tengah negara, Nafuzi, tetap bangga dengan semangat juang yang ditunjukkan pemainnya untuk mengikat Indonesia tanpa jaringan dalam 'Derby Nusantara' berkenaan.

"Keputusan malam ini, mungkin kita boleh berbangga kerana kita tidak tewas kepada Indonesia tetapi saya kecewa kerana kita tidak layak," katanya seperti yang dilaporkan wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam.

"Saya yakin kita mampu untuk menang malam ini tetapi saya juga faham mengenai keadaan pemain saya, yang majoritinya pemain muda -- mungkin mereka agak gopoh.

"Saya amat kecewa tidak layak tetapi prestasi malam ini membuatkan saya bangga dengan apa yang telah ditunjukkan."

 

Advertisement

Must Watch Video