PIALA MALAYSIA
Piala Malaysia: Tuan rumah langkah sumbang
PJ CITY 0 JDT 4
Enam pasukan tuan rumah langkah kiri ketika membuka tirai Piala Malaysia 2022 sebentar tadi.
Finalis musim lalu, Johor Darul Ta'zim (JDT), ibarat sebelah kaki menjejaki suku akhir selepas menewaskan seteru Liga Super, Petaling Jaya (PJ) City 4-0 ketika bertandang ke Stadium MBPJ.
Shahrul Saad hanya memerlukan lima minit untuk menanduk kencang sepakan sudut daripada Arif Aiman Hanapi.
Safawi Rasid tidak ketinggalan untuk memahat nama selaku penjaring kedua sebelum dua gol lagi menyusul buat Harimau Selatan menerusi Akhyar Rasyid dan Fernando Forestieri dalam babak kedua.
Sementara itu, Negeri Sembilan berhempas-pulas untuk mengekang asakan bertali arus Kedah Darul Aman di penghujung perlawanan untuk kemenangan 2-1.
Skuad kendalian K. Devan itu perlu memadam kelebihan awal skuad Lang Merah yang dilakar Fayadh Zulkifli Amin pada minit ke-8.
Di Stadium Bandaraya, dua gol sumbangan pemain import, Lucas Silva, belum cukup untuk Penang menjamin kemenangan apabila bangkit daripada ketinggalan 1-2 untuk mengikat Kuching City 2-2.
Pada masa sama, Selangor menang 2-0 hasil sentuhan pemusnah Herlison Caion di sebalik berdepan tentangan hebat daripada Kelantan United di Stadium Sultan Muhammad IV.
Dalam sepak mula lebih awal di Shah Alam, Sabah turut membawa pulang bekalan tipis menjelang aksi timbal balik Isnin depan apabila dibolosi dalam masa kecederaan ketika menundukkan UiTM 2-1.
Sang Badak membuka tirai jaringan menerusi sepakan percuma ke penjuru kanan tuan rumah pada minit ke-44.
Kemudian rembatan pemain gantian, Maxsius Musa, memastikan Sabah melebarkan kedudukan.
Kelantan FC pula memperoleh kelebihan tipis ke atas kelab bergelut dalam Liga Super, Sarawak United, apabila menang 1-0 di Stadium Negeri Sarawak.