PIALA MALAYSIA

Piala Malaysia: T-Team temui kemenangan moral

Tengku Danish Bahri 02/08/2017 | 03:16 MYT
Jurulatih T-Team, Rahmad Darmawan, berharap kemenangan 4-1 ke atas Negeri Sembilan dalam aksi Kumpulan A, Piala Malaysia di Kuala Terengganu malam tadi menjadi suntikan mengembalikan keyakinan pasukannya.
Tiga mata yang diraih itu menjadi penawar T-Team selepas dilanda prestasi merudum dalam lima perlawanan terdahulu dan situasi itu diakui menjejaskan moral mereka.
Bagaimanapun, Rahmad menyifatkan persembahan ditunjukkan pemain-pemainnya dalam perlawanan itu belum memuaskan, malah membenarkan Negeri Sembilan menguasai babak pertama.
“Kami terlalu gemuruh sehingga memberi penalti kepada lawan, membuat kekasaran yang tidak sepatutnya dan gagal untuk mengawal rentak permainan.
“Aksi lebih tenang pada babak kedua dan itu yang saya mahukan. Kemenangan ini sangat penting selepas rentetan kekalahan sebelum ini,” ujarnya.
Sementara itu, ketua jurulatih Negeri Sembilan, Mohd Asri Ninggal, terpaksa akur tewas kepada lawan lebih berpengalaman yang menyaksikan pasukannya turun tanpa majoriti pemain utama.
Mohd Asri turut menyifatkan kegagalan menyempurnakan sepakan penalti meragut semangat mereka selain bolos dengan empat gol mudah.
“Seramai enam pemain skuad Piala Presiden dibawa dan prestasi mereka tidak mengecewakan.
“Perlawanan agak seimbang pada 20 minit pertama. Namun, semangat kami jatuh dan ia mempengaruhi keputusan perlawanan,” tambahnya.
Dalam perlawanan malam tadi, T-Team membuka tirai jaringan pada minit ke-24 menerusi Mohd Asrol Ibrahim hasil hantaran leret Mohd Nor Hakim Hassan.
Sepuluh minit kemudian, Negeri Sembilan berpeluang menyamakan kedudukan selepas dihadiahkan sepakan penalti, namun sepakan Mohd Izzudin Zainudin ditepis Mohd Hafidz Romly.
Kesempatan itu dimanfaatkan T-Team untuk menggandakan jaringan menerusi Wan Ahmad Amirzafran Wan Nadris yang menyambar sepakan percuma Mohd Fakhrurazi Musa pada minit ke-39.
Dilshod Sherofetdinov menjadikan kedudukan 3-0 buat tuan rumah melalui sepakan percuma (m-49) sebelum Muhammad Nizam Ruslan mengurangkan defisit jaringan pada minit ke-79.
Hanya seminit selepas itu, Mohd Fakhrurazi mencetak nama selaku penjaring keempat pasukannya selepas menyudahkan gerakan dimulakan Mohamad Kamal Azizi dari sebelah kanan.
Berbaki satu perlawanan peringkat kumpulan, peluang masih terbuka buat Pahang, T-Team dan Negeri Sembilan untuk mengiringi Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) ke suku akhir.
#Negeri Sembilan #Liga Malaysia #T-Team #Rahmad Darmawan #Piala Malaysia 2017
;