Piala Malaysia: Terengganu bangkit daripada ketinggalan ketika singkir Negeri Sembilan

Ammar Hakim
Disember 21, 2024 22:35 MYT
Terengganu bangkit daripada ketinggalan untuk memastikan slot ke separuh akhir Piala Malaysia apabila menewaskan Negeri Sembilan 4-2 di Stadium Gong Badak, sebentar tadi.
Terengganu hadir ke perlawanan di laman sendiri menerusi kemenangan 2-0 di Paroi, menyaksikan kelebihan memihak mereka dalam aksi kedua malam ini.
Bagaimananpun, Negeri Sembilan membuat kejutan di awal permainan, membuka jaringan menerusi sepakan penalti yang dilengkapkan oleh Hadin Azman.
Ia ternyata meningatkan semangat pelawat apabila menggandakan jaringan menerusi A. Selvan menjadikan agregat terikat 2-2.
Bagaimanapun, Terengganu kembali mengatur langkah dan berjaya mendapatkan gol pertama mereka menerusi Akhyar Rashid sebelum Safawi Rasid menjadikan agregat 4-2 memihak skuad Peteh.
Dua lagi gol terhasil dalam separuh masa kedua, Azam Azmi Murad dan penalti Sharul Nizam melengkapkan kemenangan 4-2 (6-2 secara agregat) di laman sendiri.
Sementara itu, PDRM meneruskan rentak cemerlang untuk melangkah ke separuh akhir Piala Cabaran apabila menang 2-1 ke atas Melaka di Stadium Bandaraya.
Ifedayo membuka jaringan pada minit ke-10 sebelum Melaka bangkit mengikat kedudukan dalam separuh masa kedua menerusi Hafiz Johar.
Ketika agregat terikat 3-3, Ifedayo cemerlang menghukum lawan dengan gol kemenangan lewat dalam masa kecederaan sekaligus memastikan mereka ke separuh akhir.
#Negeri Sembilan #Piala Malaysia #Terengganu #Melaka #PDRM #Piala Cabaran
;