PIALA MALAYSIA
Piala Malaysia: Pahang berjaya atasi tekanan
Pahang menghidupkan kembali peluang untuk mara ke suku akhir Piala Malaysia apabila mencatat kemenangan besar 6-0 ke atas PKNP di Stadium Darulmakmur, Kuantan malam tadi.
Selepas hanya mengutip tiga mata daripada empat perlawanan peringkat kumpulan, Pahang perlu mengelak senario seri atau kalah.
Kenduri gol skuad Tok Gajah bermula pada minit ke-28 hasil penyudah yang baik daripada Wan Zaharulnizam Wan Zakaria.
Lima minit kemudian, Joseph Kalang Tie menjadikan kedudukan 2-0 selepas rembatannya gagal diselamatkan penjaga gol lawan, Ahmad Asyraf Omar.
Joseph memastikan Pahang selesa mendahului tiga minit sebelum tamat babak pertama apabila meledak gol kedua peribadi untuk skuad Tok Gajah meraih bekalan tiga gol ketika menuju ke bilik persalinan.
Wan Zaharulnizam menjadikan kedudukan 4-0 selepas tujuh minit permainan bersambung sebelum jaringan Afif Amiruddin dan Matheus Alves mengesahkan kemenangan 6-0 Pahang di laman sendiri.
Pengendali Pahang, Ahmad Shaharuddin Rosdi, memuji aksi anak buahnya walaupun berada dalam situasi sukar.
"Kami berada dalam keadaan tertekan, jadi tahniah buat semua pemain atas kemenangan ini," katanya.
Bagi jurulatih PKNP, Abu Bakar Fadzim, kesilapan mudah yang kerap dilakukan mengakibatkan pemain-pemainnya terpaksa menanggung kekalahan besar.
"Pemain yang diberi peluang banyak melakukan kesilapan mudah, mungkin disebabkan faktor terlalu selesa.
"Tahniah buat Pahang kerana berjaya menggunakan peluang yang ada," kata Abu Bakar.