Skip to main content

Bola Sepak

Piala Malaysia: Nafuzi jangka pertemuan kedua TFC, KL City sengit

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

nafuzi-zain.jpg
Ketua jurulatih Terengganu FC (TFC), Mohd Nafuzi Zain, menjangkakan pertemuan kedua pasukan itu dengan Kuala Lumur City FC dalam perlawanan suku akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) malam esok akan berlangsung sengit.

Katanya, kemampuan KL City selaku juara bertahan dan finalis Piala AFC bukan calang-calang, malah berpotensi memerangkap skuad kendaliannya.

Jelasnya, ketua jurulatih lawan, Bojan Hodak, serta pemain skuad Warga Kota itu memiliki kelebihan pengalaman, termasuk sentuhan dan ketangkasan senjata utama, Paulo Josue.

"Saya jangkakan TFC mempunyai peluang sama rata. 1-0 bukan bekalan selesa bagi kami, namun apa yang penting, TFC masih mendahului satu gol untuk memulakan aksi timbal balik di laman sendiri, malam esok.

"Bagaimanapun, kita tahu pemain KL City cukup berkualiti di semua posisi, dengan corak permainan serangan balas dan ketua jurulatih mereka pastinya merencanakan sesuatu untuk mengimbangi kedudukan agregat.

"TFC akan bertemu pasukan baik dan kedua-duanya berpeluang ke separuh akhir. Mungkin pemenang akan ditentukan oleh faktor karakter pemain," katanya.

Dalam pada itu, Nafuzi berkata, skuad bimbingannya tidak akan menukar rentak permainan susulan layangan kad merah kepada pemain TFC dalam dua perlawanan sebelum ini.

Menurutnya, ketiadaan penjaga gol, Mohd Suhaimi Husin, tidak merisaukannya kerana pasukan itu memiliki pengganti setanding, iaitu Rahadiazli Rahalim dan Mohd Sharmiza Yusoff, yang bersedia diturunkan.

Katanya, anak buahnya diramal mengekalkan corak serangan serta mampu menamatkan perlawanan dalam tempoh 90 minit tanpa perlu diheret ke masa tambahan atau penentuan sepakan penalti meskipun berpengalaman beraksi dengan hanya 10 pemain sebelum ini.

"Tonggak pertahanan, Shahrul Nizam Roshasni, juga akan memperkuatkan benteng TFC setelah kembali daripada penggantungan satu perlawanan," ujarnya.

Dalam aksi suku akhir pertama Piala Malaysia pada Ahad lalu, TFC menjinakkan juara bertahan, KL City, 1-0, di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur hasil jaringan penyerang, Kpah Sherman, pada minit ke-14.

Kredit: Sinar Harian
 

Advertisement

Jadual

warning-logo Tiada Maklumat Jadual

Must Watch Video