PIALA MALAYSIA

Piala Malaysia: Kuala Lumpur City tidak rela kempunan di Kuala Terengganu

Shaiful Shamsudin 09/11/2022 | 11:34 MYT
Skuad Warga Kota yang tewas 0-1 kepada Terengganu di Cheras hujung minggu lalu berdepan misi getir apabila berkunjung ke Gong Badak dalam misi mempertahankan kejuaraan Piala Malaysia musim lalu.
Bagi tonggak tengah Kuala Lumpur City, Akram Mahinan, dia dan rakan sepasukan sudah bersiap sedia sepenuhnya untuk berdepan skuad Penyu serta sorakan padu puluhan ribu penyokong setia tuan rumah menjelang pertembungan suku akhir, Sabtu ini.
"Kami mungkin hanya dapat 1-2 peluang sahaja sebab akan bermain di tempat lawan, mereka mungkin berhabis-habisan tekan kami.
"Jadi kami tidak boleh sia-siakan seperti perlawanan di tempat sendiri.
"Satu peluang ibarat peluang keemasan buat kami jadi kami perlu ambil.
"Gol awal boleh memberikan (ruang untuk) kami mendapat rentak dan tekanan kepada Terengganu.
"Jika mereka dapat gol awal, ia sukar nak hadap (baki perlawanan selama) 70-80 minit lagi," katanya selepas sesi latihan di Stadium KLFA, hari ini.
Akram turut melihat kembalinya Kenny Pallraj ke pangkuan pasukan selepas tamat tempoh penggantungan kad kuning sebagai tonik tambahan buat mereka.
#Piala Malaysia #Kuala Lumpur City
;