KL CITY 2 SELANGOR 0

Kuala Lumpur City FC membawa kelebihan dua gol selepas menewaskan Selangor FC 2-0 dalam perlawanan suku akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) sebentar tadi.

Gol daripada Romel Morales dan pemain gantian, Hadin Azman, dalam separuh masa berbeza sudah cukup untuk memberikan kemenangan buat barisan bimbingan Bojan Hodak itu menjelang aksi kedua di Stadium KLFA, Cheras, Khamis depan.

Beraksi di depan lebih kurang 3,100 penyokong, KL City kelihatan lebih dominan sejak awal permainan di gelanggang lawan dan berhasil memperoleh jaringan pembukaan apabila Romel Morales menanduk masuk lintangan Zhafri Yahya untuk menewaskan penjaga gol Gergasi Merah, Khairulazhan Khalid, seawal minit ke-12.

Pasukan pelawat terus menguasai permainan dalam babak kedua dan hampir menggandakan kelebihan mereka menerusi sepakan jarak jauh Ryan Lambert dan sepakan percuma ketua pasukan, Paulo Josue, yang sedikit tersasar.

Menerusi satu kesilapan pertahanan Selangor, Jordan Ayimbila, Ryan Lambert berhasil mencuri bola untuk melakukan serangan balas pantas dan biarpun percubaan awal Arif Shaqirin terkena tiang gol, Ryan Lambert sekali lagi bijak untuk melambungkan bola ke arah Hadin -- yang dimasukkan dalam babak kedua -- untuk disudahkan ke sebelah kanan gawang Khairulazhan.



Sementara itu, aksi di Stadium Darul Aman pula menyaksikan dua pasukan gergasi tanah air, Kedah Darul Aman FC dan Johor Darul Ta'zim (JDT) terikat tanpa jaringan menjelang perlawanan timbal balik di Iskandar Puteri, Khamis depan.

Terengganu FC pula menewaskan Sarawak United 2-1 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah hasil jaringan Faisal Halim dan Faiz Nasir manakala Melaka United mengekalkan rekod tanpa kalah dalam edisi kali ini dengan menewaskan Sabah 1-0 menerusi jaringan tunggal Sony Norde.



Kredit foto: MFL