PIALA MALAYSIA

Piala Malaysia: Izham Tarmizi seru kebangkitan Sri Pahang FC

Shaiful Shamsudin 18/09/2023 | 11:39 MYT
Penjaga gol utama Sri Pahang FC, Izham Tarmizi Roslan, menganggap prestasi menakjubkannya ketika mematahkan beberapa percubaan merbahaya Kuala Lumpur (KL) City membuktikan bahawa dia masih lagi kental untuk mengisi posisi tersebut.
Menurutnya, kejayaannya untuk tampil cemerlang mengurangkan defisit gol ketika tumbang 0-1 dalam kunjungan ke Stadium KLFA malam tadi bukan atas usahanya sendiri, sebaliknya berpunca dari kerjasama jitu rakan sepasukan yang sentiasa memberikan 100 peratus di padang.
"Ini semua atas sokongan rakan sepasukan. Perlawanan seperti ini sememangnya dinantikan dan yang penting kerjasama semua pihak tidak kisah siapa yang bermain.
"Apabila diberikan ruang kami perlu pastikan berikan 100 peratus," katanya selepas perlawanan.
Namun, ia bukan ukuran utama kerana mereka bakal berdepan misi penting untuk memadam kelebihan tipis skuad Warga Kota dalam timbal balik suku akhir Piala Malaysia pada Ahad ini.
Sekali lagi Izham Tarmizi menekankan elemen sepasukan sebagai titik tolak untuk mereka mara lebih jauh.
"Tidak kisah mana-mana posisi sekalipun, kami kena menang tidak kisah apa pun keputusannya.
"Kami kena bangkit di Kuantan," katanya.
#Piala Malaysia #KL City #Sri Pahang FC #Izham Tarmizi Roslan
;