PIALA MALAYSIA
Piala Malaysia: FAM kecewa insiden pemain Selangor kasari pengadil
Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Daruk Noor Azman Rahman, mengakui badan induk itu kecewa dengan kekasaran yang dilakukan pemain import Selangor FC, Yazan Al-Arab, ke atas pengadil berpengalaman, Hasrol Amir.
Yazan didapati menendang Hasrol ketika Selangor tewas 1-3 secara agregat kepada Terengganu FC dalam suku akhir kedua Piala Malaysia di Petaling Jaya malam tadi.
Tegas Noor Azman, Insiden berkenaan tidak sepatutnya berlaku dalam era bola sepak profesional ketika ini kerana ia akan memberikan kesan negatif terhadap imej bola sepak negara.
Tambahnya lagi, FAM tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak didapati melanggar undang-undang dan peraturan yang telah ditetapkan.
Laporan berkaitan insiden di Stadium Petaling Jaya itu akan diserahkan kepada Jawatankuasa Tatatertib FAM bagi menentukan bentuk hukuman yang akan dikenakan kepada tonggak antarabangsa Jordan itu.
"Bagi pihak FAM, kami amat kecewa dan kesal kerana di peringkat profesional, perkara seperti ini tidak sepatutnya berlaku," kata Noor Azman kepada Astro Arena.
"Kami akan menyerahkan kepada jawatankuasa tatatertib untuk mereka menentukan apa bentuk hukuman yang akan dikenakan.
"Kami tidak akan berkrompomi, lebih-lebih lagi perkara ini akan diuruskan oleh badan bebas berkenaan bagi menentukan hukumannya.
"Saya menyeru kepada kesemua pemain profesional untuk lebih berhati-hati kerana kami tidak mahu perkara ini berulang lagi.
"Kami memiliki saluran-saluran tertentu yang mana ketidakpuasan hati mereka boleh disalurkan," katanya.