PIALA FAM
Piala FAM: TCFC terus pimpin Kumpulan B
Pengendali Terengganu City FC (TCFC), Mohd Noor Derus, mengakui nasib berpihak kepada mereka dalam kemenangan 1-0 ke atas Young Fighters dalam aksi Piala FAM di Kuala Terengganu, malam tadi.
Bekas pemain Terengganu dan kebangsaan itu berkata skuad bimbingannya beraksi dalam tekanan, terutama pada penghujung perlawanan, dengan asakan demi asakan daripada pasukan lawan.
Begitupun, Mohd Noor menyifatkan tiga mata lebih penting sambil mencabar pemain-pemainnya mempamerkan belang sebenar dalam aksi berikutnya.
Iklan
“Graf prestasi pasukan ini dilihat semakin menurun kerana ramai pemain keletihan.
“Kami perlu memperkemaskan rentak kerana memasuki pusingan kedua nanti, semua pasukan lebih bersedia dan TCFC tidak boleh gagal dalam misi layak ke Liga Perdana,” katanya.
Sementara itu, jurulatih Young Fighters, Omar Ali, terpaksa akur dengan kekalahan tipis dengan kebangkitan diharapkan tidak menjelma, sebaliknya pulang dengan tangan kosong.
Omar menjelaskan anak-anak buahnya terlalu berhati-hati dan tidak mengikut arahan diberikan, namun tetap memuji usaha pasukannya dalam 45 minit kedua.
“Malam ini (semalam) bukan malam kami walaupun mencipta lebih banyak peluang daripada pasukan lawan,” kata bekas jurulatih Piala Presiden Selangor itu.
Dalam perlawanan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah itu, jaringan tunggal TCFC hadir menerusi tandukan Jasmir Mehat pada minit ke-13 hasil hantaran Mohd Khairul Ramadhan.
Tiga mata diraih membolehkan TCFC kekal di tangga teratas Kumpulan B dengan mengumpul 13 mata daripada lima perlawanan manakala Young Fighters di kedudukan keempat dengan tujuh mata.
Kredit foto: Terengganu City FC (TCFC)
Must-Watch Video