Skip to main content

Bola Sepak

Piala FA: Wigan diundi bertemu Manchester City

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

willgrigg-cropped_131wu64d7cdd31ux5erjjzvatw.jpg
Manchester City akan berdepan Wigan Athletic sebagai mengulangi perlawanan akhir Piala FA 2013 apabila kedua-dua pasukan diundi bertemu dalam pusingan kelima.

Tandukan lewat Ben Watson membantu Wigan melakar kejutan 1-0 di Wembley dalam final dan keputusan itu mendorong pemecatan Roberto Mancini sebagai pengurus City.

The Latics, yang kini menguasai Liga Satu, menyingkirkan West Ham 2-0 hasil jaringan Will Grigg, Sabtu lalu, sementara skuad Pep Guardiola itu mengekalkan pemburuan mereka dalam empat kejohanan dengan kemenangan 2-0 di Cardiff City.

City mengejar 'treble' domestik pada 2013-14 sebelum Wigan menewaskan mereka 2-1 dalam pusingan keenam Piala FA di Stadium Etihad.

Manchester United pula akan berkunjung sama ada ke Huddersfield Town atau Birmingham City selepas penampilan pertama Alexis Sanchez menghasilkan kemenangan 4-0 ke atas skuad Liga Dua, Yeovil Town.

Harry Kane menyelamatkan Tottenham daripada tewas mengejut di Newport County dan sekiranya berjaya dalam perlawanan ulangan di Wembley, mereka akan berhadapan dengan Millwall atau Rochdale.

Sementara itu, Chelsea meneruskan kemaraan selepas menang 3-0 ke atas Newcastle United di Stamford Bridge, di mana mereka akan menjadi tuan rumah untuk menentang Hull City.

Coventry City menyingkirkan Stoke City dalam pusingan ketiga dan dilihat akan mengecewakan sebuah lagi skuad Liga Perdana apabila mereka berkunjung ke Brighton & Hove Albion.

Dalam pada itu, Jay Rodriguez menjaringkan dua gol ketika West Brom mengejutkan Liverpool di Anfield dan bakal menghadapi bekas kelabnya, Southampton, di laman sendiri.

Sheffield United pula berkunjung ke Leicester City sementara pesaing mereka, Sheffield Wednesday, akan menjadi tuan rumah sama ada menentang Swansea City atau Notts County.

Undian pusingan kelima Piala FA:

Sheffield Wednesday lwn Notts County atau Swansea City
West Brom lwn Southampton
Chelsea lwn Hull City
Leicester City lwn Sheffield United
Huddersfield Town atau Birmingham lwn Manchester United
Millwall atau Rochdale lwn Newport County atau Tottenham
Brighton & Hove Albion lwn Coventry
Wigan Athletic lwn Manchester City

* Perlawanan akan diadakan pada 18 Februari

Advertisement

Must Watch Video