Piala FA: Terengganu tempah tiket ke suku akhir, Perak terkandas

Najmi Iman
Jun 14, 2024 23:11 MYT
TERENGGANU 2 PERAK 1
Naib juara Piala Malaysia 2023, Terengganu, berhasil menempah slot ke pusingan suku akhir Piala FA dengan kemenagan keatas Perak di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Terengganu, sebentar tadi.
Terlebih dahulu tonggak pertahanan Perak, Luiz Motta, memberikan tekanan awal kepada pasukan tuan rumah dengan meledak jaringan pembukaan seawal minit ke-6 permainan
Kehadiran semula penjaga gol nombor satu skuad Peteh, Suhaimi Husin, ternyata memberikan kelebihan buat pasukannya susulan banyak menyelamatkan gawang daripada dibolosi sekali lagi.
Pemain kebangsaan, Safawi Rasid, yang baru sahaja kembali daripada kem negara mudah menyempurnakan sepakan penalti untuk mengimbangi permainan.
Sebelum tamat separuh masa pertama, tonggak import Terengganu, Marin Pilij memberikan kegembiraan buat penyokong tuan rumah susulan melepas sepakan peluru menembusi jaring penjaga gol, Ramadhan Hamid, yang berjaya meletakkan pasukannya di depan sebagai motivasi terbaik sebelum ke bilik persalinan.
Pemain berjersi 14 Perak, Firdaus Saiyadi, menjadi pemain pertama dilayangkan kad merah dalam kempen Piala FA kali ini selepas semakan video bantuan pengadil (VAR) mendapati pemain tersebut melakukan kekasaran dengan menghayunkan tangannya kepada Safawi Rasid.
Kehadiran semula pemain pertahanan, Azam Azmi Murad, sebagai pemain gantian dilihat menjadi watak penting apabila membantu rakan sepasukan mengekang asakan Perak sehingga ke minit akhir perlawanan.
#bola sepak #Piala FA #Terengganu #Perak #DemiLigaKita