Skip to main content

Bola Sepak

Piala FA: Skuad Jang tidak goyah tanpa Nasriq

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

asrininggal-120517.jpg
Jurulatih Negeri Sembilan, Asri Ninggal, mengakui tidak berasa gusar biarpun skuad Jang bakal turun tanpa ketua pasukan, Nasriq Baharom, untuk misi melakar kejutan dalam pertemuan kedua separuh akhir Piala FA menentang Pahang di Paroi, esok.

Nasriq tidak boleh diturunkan untuk misi Negeri Sembilan mengakhiri kemarau ke final sejak 2010 akibat penggantungan satu perlawanan.

Sememangnya, ketiadaan bekas tonggak pertahanan Selangor itu dirasai skuad Jang memandangkan dia antara tonggak utama kecemerlangan pasukan, setakat ini.

Begitupun, Asri optimis terhadap kemampuan anak-anak buahnya yang lain untuk menggalas tugas di bahagian benteng bagi membendung asakan skuad Tok Gajah dalam pertemuan di laman sendiri itu. 

"Siapa sahaja yang dimasukkan, saya berasakan mereka boleh melaksanakan tugas mereka.

"Tambahan pula bermain di hadapan hampir 40,000 penyokong, pemain perlu mengambil peluang bermain dalam suasana seperti ini sebab bukan selalu hadir dalam hidup.

"Siapa sahaja yang beraksi, mereka perlu bersungguh-sungguh kerana kami mahu melakukan kejutan di Paroi," katanya.

Asri juga menyuarakan keyakinan kehadiran ribuan penyokong Negeri Sembilan mampu memberi motivasi tambahan kepada anak buahnya sekalipun Pahang kembali diperkuatkan oleh tonggak import, Mohamadou Sumareh.

"Apabila sampai di peringkat separuh akhir ini, semua pemain adalah berbahaya.

"Kami perlu fokus kepada permainan kami, kurangkan melakukan kesilapan-kesilapan mudah dan mengawal rapi pemain lawan.

"Ini bagi memastikan pemain lawan dapat dikekang serta mematikan permainan mereka, dan secara tidak langsung mempamerkan permainan terbaik dalam perlawanan separuh akhir ini."

 

Advertisement

Must Watch Video