PIALA FA MALAYSIA
Piala FA: Persiapan tiga minggu The Bos Gaurus bakal diuji di Kuala Terengganu
Kekalahan 1-3 Perak kepada Terengganu dalam pertemuan Liga Super, 11 Mei lalu tidak seharusnya dijadikan ukuran di pentas kalah mati seperti Piala FA.
Ketua jurulatih The Bos Gaurus, Yusri Che Lah, tetap optimis dengan tiga minggu persiapan yang dijalani anak buahnya demi menghadapi perlawanan pusingan 16 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, malam esok.
"Terengganu semakin kuat. Selepas tiga perlawanan, mereka mnenghasilkan enam jaringan di tempat sendiri termasuk tiga jaringan ke atas kami dan satu bolos dengan kami.
"Kami perlu berikan tumpuan lebih 100 peratus kerana mereka akan turun dengan lebih kuat memandangkan saya menjangkakan kesemua pemain mereka telah pulih.
"Ini satu pertemuan yang baik dan perlawanan Piala FA ini satu pentas yang kompetitif.
"Kami mahu terus kekal dalam persaingan ini walaupun bertandang ke kubu kuat Terengganu," katanya di Nadi Bola sebentar tadi.
Sementara itu, pemain import, Adilet Kanybekov dan Jesper Nyholm, juga akan terus menjadi sandaran dalam kunjungan ke tempat lawan.
"Adilet sudah bersama kami dan Jesper akan terus bersama pasukan di Terengganu. Saya harapkan kedua-duanya bebas kecederaan.
"Kami kini mempunyai lapan pemain import dan enam boleh dipakai (dalam satu-satu masa).
"Perancangan selama tiga minggu ini merangkumi aspek keseluruhan; menyerang dan bertahan," katanya lagi.