Perak FC mempertimbangkan tindakan denda kepada pemainnya yang kerap menerima kad merah.
Ketua jurulatihnya, Datuk Lim Teong Kim, bagaimanapun, berkata ia perlu melihat kepada situasi kad itu diterima.
Menurutnya, jika disebabkan tindakan sengaja pemain berkenaan mendapat kad kuning atau merah, mungkin akan dikenakan denda.
"Kita mesti lihat apa sebab kad merah atau kad kuning yang diterima. Kalau professional faul untuk selamatkan pasukan, kalau saya kenakan denda tak patutlah.
"Tetapi kalau bertumbuk ke memang ada (denda)," katanya selepas perlawanan Perak menentang Sri Pahang FC di Stadium Perak semalam.
Sementara itu, Teong Kim belum mahu menekan butang panik walaupun Perak tersingkir daripada saingan Piala FA selepas tewas 1-2 kepada Sri Pahang.
Ini kerana dia yakin anak buahnya akan kembali bangkit dalam saingan Liga Super.
Menurutnya, kehilangan beberapa tonggak menyebabkan perancangannya sedikit terganggu.
"Tetapi perlawanan ini memberi peluang kepada pemain yang lain untuk membuktikan kemampuan mereka, adakah mereka sepatutnya ada dalam pasukan.
"Ini juga merupakan peluang untuk mereka menunjukkan prestasi sendiri dan saya juga mempunyai lebih pilihan pemain dalam skuad saya pada masa depan," katanya
Dalam pada itu, Teong Kim mengakui kecewa dengan keputusan dicatat dalam perlawanan berkenaan.
Menurutnya, sebahagian pemain tidak menunjukkan tahap prestasi sebenar yang diinginkan.
Bagaimanapun tahap permainan mereka lebih baik berbanding perlawanan sebelum ini.
Kredit: Sinar Harian
Sinar Harian
Thu Mar 09 2023