Piala FA: Malaysian University terkilan jaringan dibatalkan VAR
Jun 30, 2024 12:05 MYT
Jaringan skuad Malaysian University Football Team (MUFT), yang dibatalkan pengadil kerana ofsaid, dalam perlawanan suku akhir pertama Piala FA di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, pada Sabtu, agak mengecewakan pengendalinya, Ridzuan Abu Shah.
Bagaimanapun, menurutnya kesemua pemain telah beraksi dengan baik di sepanjang perlawananan dengan memberikan cabaran kepada skuad Harimau Selatan itu.
“Walaupun tewas, kami berharap juga sekurangnya dapat menjaringkan satu gol namun tidak bernasib baik setelah ia dinafikan oleh VAR (video bantuan pengadil).
“Memang terkilan, sebab saya tak pasti sama ada pemain berada di posisi ofsaid atau berlakunya kekasaran (terhadap Corbin-Ong), kami fikir jaringan itu sudah dikira tapi nasib tak menyebelahi kami.
“Lagi pun, kami datang ke sini adalah bermain dan mengelak bolos dengan jaringan yang banyak, itu sahaja sasaran kami kerana apabila sudah melangkah ke peringkat suku akhir, kami terpaksa berdepan dengan cabaran yang mendatang,” katanya.
Untuk rekod, skuad Liga A1 Semi-Pro itu tewas 0-5 kepada JDT, dan berdepan tugas sukar untuk memadam defisit berkenaan pada aksi timbal balik di venue sama, Jumaat ini.
Pemain kita hilang konsentrasi khusnya ketika perlawanan bersambung pada babak kedua dan ia menjadi punca pintu gol kita dibolosi empat gol berbanding hanya bolos sekali pada first half (babak pertama).
“Apa pun, pujian perlu diberikan kepada penjaga gol kita yang berjaya menggagalkan beberapa peluang keemasan pasukan lawan daripada berpesta gol dengan jaringan yang lebih besar kali ini,” katanya.
Kredit: Sinar Harian