LIVERPOOL 3 CARDIFF 1

Cardiff City kendalian Steve Morison menghabiskan sebahagian besar perlawanan untuk mengatur pertahanan bagi memastikan Liverpool buntu untuk tempoh yang lama, sebelum Rubin Colwill menjaringkan gol sagu hati buat pelawat yang bertandang dari Wales itu.


Undian pusingan kelima dibuat sebelum sepak mula perlawanan sebentar tadi itu dan selepas ini pasukan bimbingan Jurgen Klopp tersebut bakal melayani kunjungan Norwich City.

Skuad Bluesbirds itu bermula dengan cemerlang tetapi The Reds sepatutnya mendahului lebih awal menerusi Diogo Jota tetapi pemain antarabangsa Portugal itu memilih merembat tepat ke arah Dillon Phillips.

Pencabar Liga Perdana Inggeris (EPL) itu bergelut merobohkan kubu Cardiff dan terpaksa menunggu hingga minit ke-34 untuk menguji gawang lawan buat sekian kali, namun Minamino pula melepaskan satu percubaan tinggi dalam satu peluang berharga di Stadium Anfield.




Liverpool akhirnya mendahului perlawanan pada minit ke-53 hasil sepakan percuma yang berpunca daripada Trent Alexander-Arnold yang disudahkan Jota.

Anfied kembali bergema selepas itu ketika Elliott dan Diaz dimasukkan.

Muka baru dari Colombia itu memainkan peranan besar dalam gol kedua Liverpool apabila dia memperdayakan Perry Ng sebelum mengumpan kepada Minamino.

Elliott turut dalam senarai penjaring apabila menyempurnakan hantaran lintang Andy Robertson sebelum Colwill cuba merapatkan jurang ketika permainan berbaki 10 minit.