Piala FA: Kualiti pengadil memalukan -- Sony Norde kecewa pengadil punca Kedah tewas kepada JDT
Muzaffar Musa
Julai 20, 2024 17:56 MYT
Julai 20, 2024 17:56 MYT
Kapten Kedah Darul Aman, Sony Norde, tampil meluahkan kekecewaannya terhadap kualiti pengadil, Nazmi Nasaruddin, yang disifatkannya sebagai memalukan.
Ini selepas beberapa keputusan pengadil itu mengundang pertikaian ketika Sang Kenari tewas tipis 1-2 kepada Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam separuh akhir pertama Piala FA di Stadium Darul Aman malam tadi.
Katanya, Kedah sekurang-kurangnya layak meraih keputusan seri tetapi dikecewakan dengan beberapa keputusan mengelirukan Nazmi sepanjang perlawanan itu.
Norde turut mengakui dia dan rakan sepasukannya akan berdepan tugas getir menjelang aksi timbal balik di Iskandar Puteri awal bulan depan.
"Tidak puas hati kerana ia memalukan buat diri mereka sendiri, maaf untuk berkata seperti itu," katanya dalam sidang media seperti yang dilaporkan wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi.
"Tetapi selepas lima tahun bermain di Malaysia, saya berdepan banyak situasi seperti ini tetapi kali ini, ia sukar dipercayai.
"Dalam babak pertama, Habib (Haroon) dikasari tetapi tiada sepakan penalti diberikan kepada kami.
"Apa yang saya tahu, kerana mereka kami tewas perlawanan ini.
"Tetapi tiada apa yang mustahil dalam hidup kita, jadi kami perlu bekerja keras, menuruti apa yang dikatakan jurulatih kerana peluangnya masih ada dan ia bergantung kepada kami.
"Jadi kami akan turun beraksi dan melihat apa yang boleh kami lakukan di sana kerana amat sukar untuk bermain di sana," katanya.
Astro Arena cuba mendapatkan maklum balas daripada Pengerusi Jawatankuasa Pengadil Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk S. Sivasundaram, tetapi dia enggan mengeluarkan sebarang kenyataan buat masa ini sambil menjelaskan pihaknya perlu menyemak laporan rasmi pengadil terlebih dahulu.