Ketua jurulatih Kuala Lumpur City, Bojan Hodak, sedia menurunkan barisan kedua dalam pusingan kedua Piala FA berdepan Imigresen FC, malam esok.

Pengendali kelahiran Croatia itu mahu memberikan peluang buat pemain yang kurang mendapatkan minit permainan dalam saingan Liga Super di samping menawarkan pemulihan buat tonggak utama.

Hodak dalam perkembangan sama menggesa anak buahnya supaya waspada dengan ancaman yang bakal ditampilkan pencabar daripada Piala MFL itu kerana percaya dalam saingan kalah mati, tidak wujud istilah pasukan pilihan mahupun bukan pilihan.

"Kalau lawan pasukan besar seperti Selangor atau JDT (Johor Darul Ta'zim), saya tidak risau untuk membangkitkan motivasi pemain.

"Tapi kalau jumpa kelab daripada divisyen ketiga, kini motivasi menjadi perkara paling sukar.

"Oleh sebab itulah banyak kejutan berlaku dalam Piala FA.

"Tapi bagi pemain simpanan, mereka akan dapat peluang dan harus manfaatkannya," katanya dalam sesi latihan malam tadi.

Sementara itu, tonggak tengah The City Boys, Kenny Pallraj, menganggap Imigresen mampu memberikan 1001 masalah buat mereka memandangkan skuad kendalian Mat Zan Mat Aris itu bakal turun tanpa sebarang tekanan.

Kenny berharap setiap pemain yang diturunkan dapat memberikan aksi terbaik dan tidak memandang rendah keupayaan Imigresen yang turut dibarisi beberapa bekas pemain berstatus Liga Super.

"Bagi saya pasukan -pasukan seperti ini yang jahat.






"Mereka tidak rugi apa-apa sekiranya menang mahupun kalah.

"Sebagai pasukan elit, kami perlu buat yang terbaik sebagai wakil Liga Super.

"Mereka memiliki pemain pengalaman jadi kami tidak boleh pandang mudah, kami perlu lebih bekerja keras daripada perlawanan lalu.

"Terlalu yakin boleh membunuh. Kami sering berpesan bercakap tentang tidak mahu menjadi terlalu yakin.

"Biar kami jadi 'underdog', bukan pasukan lain," katanya.