PIALA FA

Piala FA: Jerantut FA teruskan kemaraan

Tengku Danish Bahri 02/03/2019 | 12:05 MYT
MDB 1 JERANTUT 2
Jaringan pemain import, Berete Mamadou, dalam masa tambahan memastikan kemaraan Jerantut FA ke pusingan kedua Piala FA selepas menewaskan Majlis Daerah Besut (MDB) 2-1 di Kuala Terengganu, hari ini.
Kubu Jerantut FA, begitupun, diuji seawal minit ketiga dengan percubaan leret daripada kapten MDB, Nikzulaziz Nawawi, dinafikan penjaga gol, Mohamad Rozlan Arbae.
Jerantut FA mendahului tiga minit kemudian menerusi Muhamad Nor Hafiz Sulaiman, yang melepasi perangkap ofsaid sebelum tenang melakukan penyudah.
Tersentak dengan jaringan itu, MDB menyamakan kedudukan pada minit ke-34 hasil sepakan lencong Mohd Manaf Mansor dari dalam kotak penalti.
Jerantut FA berpeluang membawa kelebihan gol ke bilik persalinan, namun tandukan Mamadou pada minit ke-43 tersasar ke sebelah tepi.
MDB memperkemaskan rentak selepas waktu rehat dengan tandukan Muhammad Lukman Mat Salleh yang menerima umpanan Tuan Faiz Hakimie Tuan Rosli sekadar hinggap ke jaring tepi pada minit ke-64.
Pintu gol Jerantut FA terus terselamat apabila usaha Muhamad Nurudin Yusof (m-80) serta Norsyazwan Safwan Abd Wahab (m-84) ditepis Rozlan untuk mengheret perlawanan ke masa tambahan.
Mamadou muncul wira pelawat menerusi jaringan kemenangan pada minit ke-109 melalui gerakan solo dari sebelah kiri untuk kedudukan itu kekal sehingga tamat perlawanan.
Keputusan lain:
MPKj FC 0-8 Kelantan United
PIB FC 2-1 Real Chukai FC
FC Pemanis 0-3 Kuching FA
;