Piala FA Inggeris: Arsenal dihukum lepaskan peluang terhidang

Shaiful Shamsudin
Januari 13, 2025 09:53 MYT
Mikel Arteta percaya Arsenal telah mempamerkan prestasi memberangsangkan ketika menangani Manchester United dalam pusingan ketiga Piala FA Inggeris awal pagi tadi, malah corak permainan mereka jauh menyerlah berbanding The Red Devils.
The Gunners disingkirkan oleh juara bertahan itu menerusi penentuan sepakan penalti di Stadium Emirates setelah Gabriel Magalhaes membatalkan gol pembukaan Bruno Fernandes.
Namun, kali ini dia enggan menunding jari kepada mana-mana pihak selain meratapi kegagalan jentera serangannya dalam melunaskan peluang terhidang.
"Ia sukar dipercayai. Jelas sekali, kami diukur menerusi prestasi dan apa yang kami lakukan berhubung penguasaan permainan, kami sememangnya layak memenangi perlawanan ini," kata pengurus Sepanyol itu.
“Tetapi realitinya adalah kami tersingkir dan prestasi menjadi satu-satunya penilaian jadi saya tidak kelu untuk bincangkannya secara tertutup.
"Saya sayangkan pemain saya. Saya suka pasukan kami dan saya suka betapa bagusnya mereka dan apa yang mereka lakukan kerana dalam 1,000 perlawanan, anda sepatutnya kalah dalam satu perlawanan seperti ini.
"Anda juga perlu memahami situasi ini, ia adalah sebahagian daripada industri kami dan permainan, jadi kami perlu teruskan berjuangan kerana anda tidak mempunyai masa untuk meratap kerana pada Rabu depan, kami mempunyai satu tugas besar lagi.
"Inilah bola sepak dan ia adalah sebahagian daripada pelaksanaan itu, anda memerlukan situasi memihak anda dan tidak pada malam ini.
"Ini adalah sebuah pasukan yang luar biasa. Saya sangat berbangga dengan pemain saya. Adalah amat sukar untuk menuntut sesuatu selain daripada prestasi yang mereka telah jelmakan seperti ini.
"Apa pun bola kena dimasukkan ke dalam jaring dan kami perlu menewaskan pihak lawan, itulah realitinya."
#EPL #Piala FA Inggeris
;