SELANGOR 4 TERENGGANU 1
(Selangor ke final dengan agregat 6-4)

Safuwan Baharudin menggendong watak wira apabila menjaringkan tiga gol untuk membawa Selangor ke final Piala FA dengan menewaskan Terengganu 4-1 dalam aksi separuh akhir kedua di Petaling Jaya sebentar tadi.

Selangor tewas 3-2 dalam aksi pertama di Kuala Terengganu pada 19 Julai lalu tetapi ketua pasukan, Safuwan, menjaringkan dua gol pantas dalam babak pertama aksi timbal balik kali ini, kedua-duanya menerusi tandukan gemilangnya daripada sepakan penjuru Yohandry Orozco, masing-masing pada minit ketiga dan keenam.

Terengganu, bagaimanapun, bangkit mengikat kedudukan agregat pada minit ke-22, di mana penyerang import, Ismahil Akinade menyudahkan satu gerakan serangan balas pantas yang dimulakan penjaga gol, Syed Nasrulhaq Syed Bidin, dengan lambungannya yang memperdayakan Sam Somervile.

Dengan kedua-dua pasukan terikat secara agregat memasuki babak kedua, Safuwan membuktikan masih ada sentuhan berbisa daripada pertahanan tengah itu apabila bijak menemui hantaran tandukan Nooa Laine untuk menggegarkan jaring pada minit ke-54.

Penyerang import, Reziq Bani Hani, kemudian mencurahkan garam di luka Terengganu apabila menambah satu lagi jaringan dalam waktu kecederaan dengan memanfaatkan kesilapan barisan pertahanan Sang Penyu.

Dengan kemengan itu, Selangor akan menantikan pemenang di antara Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Kedah Darul Aman bagi penentuan gelaran di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 24 Ogos ini.