Piala FA: Gol masa tambahan Zahrul Zulkeflee pastikan Kuching City singkir KL City

Muzaffar Musa
Jun 14, 2024 21:35 MYT
KUALA LUMPUR CITY 2 KUCING CITY 3
Kuala Lumpur City dua kali berada di depan tetapi tidak dapat menyekat kebangkitan Kuching City di Cheras, sekali gus gagal menempah tiket ke suku akhir Piala FA 2024.
Dua penyerang kebangsaan, Haqimi Azim Rosli dan Paulo Josue, meletakkan The City Boys di depan menjelang separuh masa tetapi jaringan Shamie Iszuan dan Zahrul Zulkeflee buat Kuching City dalam separuh masa berikutnya memberikan penamat berbeza buat The City Boys.
Gerakan cantik yang dijana Sean Gan Giannelli ketika menyusup ke dalam kotak penalti pelawat akhirnya diterjemahkan Haqimi Azim yang menantikan peluang di depan pintu gol untuk menyudahkannya dengan satu tolakan pada minit ke-14.
Bagaimanapun, Filemon Anyie kemudian melambungkan bola untuk memperdayakan penjaga gol kebangsaan, Azri Ghani, bagi mengikat kedudukan buat Kuching City pada minit ke-26.
Paulo Josue memastikan KL City kembali di depan sebelum ke bilik persalinan dengan gerakan liciknya memperdaya perangkap ofsaid ketika menerima umpanan lolos Ganielli pada minit ke-39.
Ketika KL City diharapkan dapat mengekalkan dominasi dalam separuh masa kedua, perkara sebaliknya berlaku dengan Shamie kembali mengikat kedudukan buat Kuching pada minit ke-68 dan dengan tiada sebarang pertambahan gol menuju ke 90 minit permainan, perlawanan itu terpaksa diheret ke masa tambahan.
Ketika kedua-dua pasukan seakan-akan sudah bersedia untuk ke penentuan penalti, Zahrul muncul wira Kuching City dengan gol kemenangannya dalam masa kecederaan selepas minit ke-120.
#bola sepak #Piala FA Malaysia #Kuching City FC #Kuala Lumpur City FC
;