Piala FA: Drama di Stadium Temerloh, Penang menang penalti

Najmi Iman
Jun 14, 2024 23:27 MYT
SRI PAHANG 1 PENANG 1
(Penang ke suku akhir dengan menang penentuan penalti 3-4)
Perlawanan Piala FA membabitkan pertemuan di antara Sri Pahang dan Penang yang menyaksikan skuad kendalian Fandi Ahmad gagal menempah tiket ke suku akhir edisi kali ini.
Pasukan pelawat bermula garang apabila kerap melakukan serangan bertubi-tubi keatas kubu pertahanan pasukan tuan rumah untuk memberi tekanan awal kepada kelab Pantai Timur itu.
Bekas pemain PDRM, Nabil Ahmad Latpi, meletakkan Penang di hadapan sebelum tamat separuh masa pertama.
Berselang babak kedua permainan, Sri Pahang dituntut mempamerkan aksi cemerlang bagi menghidupan peluang ke pusingan seterusnya selepas menguasai permainan secara keseluruhan.
Pada minit ke-78, pemain import, Mykola Ahapov, menyamakan kedudukan buat skuad Tok Gajah untuk mengheret perlawanan ke masa tambahan.
Kedua-dua pasukan gagal memanfaatkan peluang yang terhidang selepas masing-masing buntu menembusi barisan pertahanan yang membawa kepada penentuan sepakan penalti.
Misi hidup mati pasukan Penang akhirnya membuahkan hasil kecemerlangan penjaga gol, Sikh Izhan Nazrel bin Sikh Azman, yang menyelamatkan sepakan penalti ternyata memberikan kelebihan buat pasukannya.
Kegagalan menyempurnakan sepakan penalti oleh Mykola Ahapov dan ketua pasukan, Mohammad Fadhli bin Mohammad Shas, membuatkan skuad Sri Pahang terpaksa berputih mata dihadapan peminat sendiri di Stadium Temerloh, sebentar tadi.
Ayam tambatan skuad Harimau Kumbang, Nabil Ahmad Latpi, muncul sebagai wira selepas berjaya menjaringkan gol kemenangan menewaskan penjaga gol, Zarif Irfan Hashimuddin.
#bola sepak #Piala FA #Sri Pahang #Penang #DemiLigaKita
;