Selangor melaungkan amaran bahawa mereka akan bangkit dalam aksi separuh akhir kedua Piala FA ketika melayang kunjungan Terengganu di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) malam ini.
Pengendali skuad Gergasi Merah, Nidzam Jamil berkata, para pemain cukup bermotivasi untuk perlawanan hari ini biarpun mengetahui tugas getir perlu mencari gol untuk menyamakan agregat selepas kekalahan 2-3 di Kuala Terengganu baru-baru ini.
Menurutnya, sokongan daripada penyokong Selangor juga amat ditagih untuk memberikan semangat tambahan dalam perlawanan penting itu.
"Kami memerlukan sokongan penyokong Selangor untuk menjadi pemain ke-12 pada Sabtu sekali gus membakar semangat pemain.
"Cita cita kami untuk ke perlawanan akhir Piala FA dan kami sangat bermotivasi untuk perlawanan penting esok," katanya kepada Sukan Sinar pada Jumaat.
Nidzam berkata, skuad gergasi Lembah Klang itu juga akan turun dengan pasukan terbaik selepas tiada pemain utama yang mengalami kecederaan.
"Kita juga tiada pemain yang mengalami kecederaan kecuali pemain tengah Muhammad Mukhairi Ajmal Mahadi," katanya.-Sinar
Stadium Astro
Fri Aug 02 2024