PIALA ERR
Piala Emas Raja-Raja: MIFA julung kali sertai edisi ke-79
Persatuan Bolasepak Melayu Malaysia (PBMM) mengambil pendekatan proaktif dengan mengundang Persatuan Bola Sepak India Malaysia (MIFA) dalam saingan Piala Emas Raja-Raja (PERR) 2019.
Penyertaan julung kali MIFA dalam kejohanan yang memasuki edisi ke-79 itu, demi landskap bola sepak yang mencerminkan semangat perpaduan di negara ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan PBMM, Datuk Kamarulnizam Sharip, menjelaskan PERR sentiasa terbuka kepada pasukan bukan Melayu seperti MIFA, namun mereka diwajibkan mengikuti syarat ditetapkan.
Iklan
“Kejohanan ini saban tahun mendapat sambutan yang sangat menggalakkan dan dalam edisi kali ini, kami membuka penyertaan kepada persatuan bukan Melayu, dan penyertaan terbaru kali ini daripada MIFA,” katanya dalam sidang media PERR ke-79 di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) di Kelana Jaya, hari ini.
Dalam saingan itu, MIFA diletakkan syarat untuk menggunakan khidmat tiga pemain Melayu dengan seorang daripadanya wajib berada dalam kesebelasan utama pasukan sepertimana diguna pakai Persatuan Bolasepak Cina Malaysia (MCFA) yang bakal memasuki penyertaan ketiganya dalam edisi 2019.
“Mereka (MIFA) menunjukkan minat yang sama seperti MCFA, namun pasukan berkenaan perlu mematuhi peraturan sepertimana ditetapkan,” kata Kamarulnizam.
PERR bakal membuka tirai dengan aksi Piala Agong yang melibatkan juara berganda, Pahang, bertemu naib juara PERR musim lalu, Terengganu, pada 6 atau 7 Septemper depan, namun venue perlawanan masih belum diputuskan.
Sementara itu, Kedah dipilih menjadi venue rasmi PERR 2019 yang bakal berlangsung selama sebulan dengan melibatkan enam padang di Universiti Utara Malaysia (UUM), dua sekitar Jitra dan satu di Langkawi.
Juara PERR ke-79 akan menerima hadiah wang tunai RM40,000 manakala naib juara membawa pulang RM20,000.
-- BERNAMA
Must-Watch Video