Terengganu memulakan saingan Piala Emas Raja-Raja musim ini dengan kemenangan 4-1 ke atas tuan rumah, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), di Stadium Wisma Pertahanan (MINDEF), petang tadi.

Semi finalis musim lalu itu mendahului seawal minit kelima menerusi jaringan penyerang berusia 18 tahun, Mohamad Amir Ashraf Hussin.

Dua jaringan pantas ketua pasukan, Mohd Aizuddin Che Aziz, pada minit ke-42 dan Mohamad Rahmat Makasuf seminit kemudian memberikan kelebihan kepada Terengganu untuk menamatkan 45 minit pertama dengan kedudukan 3-0.

Mohd Rifaie Awang Long menjaringkan gol keempat Terengganu hasil sepakan penalti pada minit ke-70 sebelum ATM memperoleh jaringan sagu hati pada masa kecederaan menerusi Paulus Anak Legan.

Tiga mata diraih ini meletakkan skuad kendalian Subri Sulong itu mendahului Kumpulan C selepas satu lagi perlawanan melibatkan Kedah dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (KL) berkesudahan seri 2-2.

“Perlawanan hari ini sangat pantas dan walaupun kami menang dengan jaringan 4-1, ini bukan perlawanan yang mudah.

“Aspek kecergasan pemain masih belum memuaskan kerana rentak yang berbeza berbanding beberapa perlawanan persahabatan sebelum ini, malah ada pemain yang kelihatan gugup pada awal perlawanan.

“Persembahan yang ditunjukkan tetap baik walaupun banyak peluang gagal dimanfaatkan.

“Selepas kami mendahului dua gol, pemain-pemain ini tampil lebih yakin dan kemenangan ini menyuntik semangat kami untuk perlawanan seterusnya, esok.

“Dua pemain utama, Dhiyaulrahman (Hasry) dan Mohd Azrean (Abd Aziz) mengadu mengalami kecederaan kecil dan saya tidak mahu meletakkan risiko dengan menurunkan mereka.

“Secara keseluruhan, saya tetap yakin dengan kesebelasan utama yang bakal diturunkan,” ujar Subri.

Terengganu akan berdepan KL dalam perlawanan kedua esok manakala ATM bertemu Kedah.

Kredit foto: Persatuan Bola Sepak Melayu Terengganu