Piala EFL: Van Nistelrooy kembali bawa keceriaan di Old Trafford
Muzaffar Musa
Oktober 30, 2024 07:12 MYT
Oktober 30, 2024 07:12 MYT
MANCHESTER UNITED 5 LEICESTER CITY 2
Manchester United layak ke suku akhir Piala EFL dengan menewaskan Leicester City 5-2 di Old Trafford awal pagi tadi.
Ia merupakan aksi pertama The Red Devils di bawah pengurus interim, Ruud van Nistelrooy, selepas pemecatan Erik ten Hag.
Ten Hag dipecat pada Isnin lalu dan pembantunya, Van Nistelrooy, mengambil alih peranan itu sementara United menunggu proses pelantikan Ruben Amorim selaku pengurus baru selesai.
Dan tempoh Van Nistelrooy itu bermula dengan cukup positif apabila Casemiro membuka jaringan menerusi rembatan jarak jauh pada minit ke-15 sebelum Alejandro Garnacho memanfaatkan lintangan Diogo Dalot untuk menggandakan kedudukan itu berselang 13 minit.
Bilal El Khannouss kemudian menyudahkan umpanan Altay Bayindir untuk Leicester merapatkan jurang pada minit ke-33 tetapi sepakan percuma Bruno Fernandes yang terbias mengembalikan kelebihan dua gol buat United sebelum Casemiro memperoleh jaringan kedua peribadi pada minit ke-39.
Walaupun Conor Coady sekali lagi mengecilkan jurang buat Leicester dalam waktu kecederaan babak pertama, United terus mendominasi babak berikutnya untuk Fernandes sekali lagi menemui jaringan dengan memanfaatkan kesilapan pertahanan lawan menjelang sejam permainan.