BRIGHTON 2 LIVERPOOL 3
Cody Gakpo menggenggam watak wira dengan dua golnya ketika membantu Liverpool menewaskan Brighton 3-2 dalam perlawanan pusingan keempat Piala Liga Inggeris (EFL) di Stadium American Express awal pagi tadi.
Bagaimanapun, penyerang kebangsaan Belanda itu mengakui masih ada ruang untuk memperbaiki prestasinya.
Gakpo membuktikan dia mampu membawa watak utama di bahagian serangan selepas Diogo Jota disahkan tidak dapat beraksi sehingga tamat waktu rehat antarabangsa depan gara-gara kecederaan.
Dia menjaringkan kedua-dua golnya dengan cara masuk dari sebelah kiri sebelum seorang lagi pemain sayap, Luis Diaz, turut menempatkan diri dalam senarai penjaring.
Simon Adingra dan Tariq Lamptey mendatangkan gusar buat penyokong Liverpool pada penghujung permainan tetapi keputusan 3-2 itu sudah cukup untuk membawa pasukan bimbingan Arne Slot berkenaan ke suku akhir.
Di sebalik aksi cemerlangnya dalam kemenangan itu, Gakpo berasakan masih ada ruang untuk penambahbaikan.
"Saya fikir ia dua gol yang baik," katanya kepada Sky Sports.
"Tetapi saya rasa ia sepatutnya lebih daripada itu atau saya juga boleh melakukan bantuan jaringan."
Muzaffar Musa
Thu Oct 31 2024