Bukayo Saka telah menambah masalah kecederaan Arsenal apabila Mikel Arteta mendedahkan pemain sayap England itu mungkin terlepas kunjungan ke Bournemouth kerana kecederaan kaki.
Pemain berusia 22 tahun itu menjaringkan gol menerusi sepakan penalti dan menyaksikan rembatan separuh masa pertama ditepis oleh Cristian Romero ketika The Gunners seri 2-2 di laman sendiri menentang Tottenham Ahad lalu.
Bagaimanapun, Saka, kelihatan berdepan kecederaan pada penghujung perlawanan sebelum digantikan oleh Emile Smith Rowe dan kelihatan sudah pasti bakal terlepas perlawanan pusingan ketiga Piala Carabao awal pagi esok di Brentford, manakala rekod kelabnya yang mencatat 86 penampilan Liga Perdana Inggeris berturut-turut juga terancam.
Declan Rice digantikan pada separuh masa menentang Spurs dengan masalah belakang dan penyerang Gabriel Martinelli dan Leandro Trossard terlepas perlawanan kerana kecederaan, dengan Jurrien Timber dan Thomas Partey turut diketepikan.
Kini Arteta bimbang Saka -- yang mempunyai empat gol serta empat bantuan daripada lapan perlawanan pertama musim ini -- kelihatan bakal menyertai senarai kecederaan yang panjang itu.
“Dia kelihatan agak teruk selepas perlawanan,” kata Arteta.
Ditanya sama ada Saka mungkin terlepas perlawanan bertemu Bournemouth, Arteta menambah, "Ia adalah satu kemungkinan, ya."
Ammar Hakim
Wed Sep 27 2023
