BOLA SEPAK
Piala Dunia Wanita: Martens jalani ujian kecergasan sebelum final
Lieke Martens akan menjalani ujian kecergasan menjelang final Piala Dunia Wanita di antara Belanda dan Amerika Syarikat (AS) di Stadium Groupama, malam ini.
Martens, yang juga pemain Barcelona, terpaksa dikeluarkan dalam aksi separuh akhir dengan Sweden, Rabu lalu gara-gara kecederaan kaki yang dialaminya sewaktu meraikan gol kemenangannya ke atas Jepun dalam pusingan 16.
Pemain berusia 26 tahun itu tidak terlibat dalam sesi latihan yang terbuka kepada pihak media semalam kerana menjalani program pemulihan berasingan pada hari sebelumnya.
Dia sebelum ini berkata bahawa dia berharap akan kembali cergas untuk beraksi dan ketua jurulatih Belanda, Sarina Wiegman, mengesahkan pemain bintang itu akan menjalani ujian kecergasan menjelang sepak mula perlawanan akhir, malam ini.
"Dia sedang bersiap sedia untuk beraksi.
"Kami tidak pasti sama ada dia akan berada dalam barisan utama atau tidak, namun kami sedang berusaha.
"Kami belum pasti peluangnya, jadi ia akan ditentukan pagi esok," kata pengendali itu.