BOLA SEPAK
Piala Dunia Wanita: Lucy Bronze puji aksi menarik, berani pemain muda England
Lucy Bronze berkata skuad England bagi Kejohanan Bola Sepak Piala Dunia Wanita tahun ini memiliki pemain muda yang menarik dan berani.
Sewaktu terikat 0-0 dengan Portugal di Stadium MK semalam, kesebelasan utama England turut menyenaraikan pemain Manchester City berusia 22 tahun, Esme Morgan, yang bertindak sebagai pertahanan tengah bagi menampung ketiadaan Leah Williamson, yang terpaksa menarik diri daripada kejohanan terbesar itu kerana kecederaan lutut serius sambil pemangku ketua pasukan, Millie Bright, juga masih bergelut dengan masalah kecergasan.
Mereka turut memulakan penyerang berusia 21 tahun Chelsea, Lauren James, sambil penggempur berusia 20 tahun Brighton, Katie Robinson, dimasukkan sebagai pemain gantian bagi memperkuatkan pasukan juara Eropah berkenaan dalam babak kedua.
Iklan
Pertahanan kiri, Bronze, berkata: "Pemain muda yang kurang pengalaman seperti Robbo, LJ dan Esme, saya rasakan mereka telah melakukannya dengan baik.
"Mereka kian meningkat dalam permainan. Anda tidak dapat lihat mereka terbeban dengan jangkaan yang diletakkan di bahu mereka. Anda bercakap mengenai Millie Bright, Leah Williamson dan saya rasakan Esme juga amat bagus.
"Mereka amat menarik dan berani. Mereka dibawa masuk. Mereka sudah biasa melakukannya dalam liga dan kini mereka melakukannya untuk kami," katanya.
England akan berlepas ke Australia pada Rabu ini dan beraksi dalam satu lagi perlawanan persahabatan tertutup menentang Canada pada 14 Julai depan sebelum membuka kempen Piala Dunia dengan menentang Haiti di Brisbane lapan hari kemudian.
Must-Watch Video