Skip to main content

Bola Sepak

Piala Dunia Wanita: England tetap waspada Australia biarpun tanpa Sam Kerr

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

sam-kerr.jpg
Pengurus England, Sarina Wiegman, percaya pasukannya tidak boleh mengambil mudah Australia biarpun tanpa Sam Kerr seandainya mahu melihat The Lionesses mara ke final Piala Dunia Wanita buat kali pertama.

Pasukan juara Eropah itu akan berdepan The Matildas dalam separuh akhir di Sydney petang ini, di mana majoriti 75,000 penonton yang hadir akan memberikan sokongan buat pasukan tuan rumah berkenaan.

Ketua pasukan, Kerr, merupakan penjaring terbanyak tanpa mengira jantina buat Australia tetapi masih belum dapat memulakan perlawanan dalam Piala Dunia edisi kali ini berikutan kecederaan betis yang dialami menjelang kejohanan itu. 

Bagaimanapun, dia diturunkan sebagai pemain gantian ketika Australia mengatasi Denmark 2-0 dalam pusingan 16 pada 7 Ogos lalu.
 
Wiegman berkata: "Australia bukan hanya tentang Sam Kerr. Benar, kami mempunyai perancangan (jika dia beraksi). Dia boleh bermain, dia boleh memulakan perlawanan dari bangku pemain, jadi itulah situasinya.

"Sudah pasti dia satu ancaman. Dia pemain yang amat bagus, jadi kami amat menghormatinya.

"Tetapi ada pemain lain selain Sam Kerr kerana pada akhirnya, ia sentiasa mengenai persembahan sepasukan. Apabila pasukan dapat bermain dengan amat baik, pemain dapat melakukan yang lebih baik secara individu. Ia sama juga buat Australia dan sama juga buat England.

"Terdapat banyak tekanan buatnya kerana semua orang mengharapkan sesuatu daripadanya. Saya fikir Australia juga telah berkembang dalam kejohanan ini.

"Mereka melalui beberapa situasi sukar dan mereka bangkit dengan amat baik.

"Kami menjangkakan sebuah pasukan Australia yang kuat esok (petang ini)."
 

Advertisement

Must Watch Video