Piala Dunia Qatar: Uruguay-Korea Selatan mulakan kempen dengan satu mata
Muzaffar Musa
November 24, 2022 23:22 MYT
November 24, 2022 23:22 MYT
Uruguay dan Korea Selatan memulakan kempen Kumpulan H, Piala Dunia Qatar 2022 dengan satu mata selepas terikat tanpa jaringan di Stadium Education City sebentar tadi.
Berdasarkan ranking semasa, Uruguay kelihatan berkelebihan memandangkan mereka berada di kedudukan ke-14 dunia berbanding Korea Selatan di ranking ke-28 dunia tetapi ia tidak mencerminkan aksi di atas padang.
Federico Valverde terlebih dahulu menguji gawang Korea Selatan tetapi percubaannya dari dalam kawasan penalti melambung tinggi melepasi palang gol.
Penyerang Liverpool, Darwin Nunez, memiliki peluang paling berharga buat Uruguay pada minit ke-22 tetapi dia sekadar menyepak angin di depan gawang terbuka sebelum dia gagal menyempurnakan umpanan Rodrigo Bentancur pada minit ke-27.
Korea Selatan turut memiliki peluang keemasan pada minit ke-34 tetapi rembatan kencang Hwang Ui-jo sedikit melewati palang gol Sergio Rochet.
Le Celeste sepatutnya berada di depan sebelum ke bilik persalinan, namun malangnya tandukan Diego Godin sekadar menggegarkan tiang gol.
Aksi lebih seimbang dipamerkan kedua-dua pasukan dalam separuh masa berikutnya, di mana percubaan jarak jauh Son Heung-min sedikit serong daripada gawang gol lawan pada lewat permainan sambil percubaan Valverde pula hinggap di tiang gol Kim Seung-gyu menjelang minit ke-90.
Dengan keputusan itu, laluan kian mencabar buat Uruguay apabila mereka dijadualkan untuk bertemu Portugal awal pagi selasa ini manakala Korea Selatan pula akan berdepan Ghana dalam satu lagi perlawanan Kumpulan H.