Lautaro Martinez terpaksa mengambil suntikan tahan sakit untuk beraksi mewakili Argentina dalam Piala Dunia Qatar 2022, demikian didedahkan ejennya.

Penyerang Inter Milan itu masih belum menjaringkan sebarang gol walaupun diturunkan dalam kesemua empat perlawanan Argentina, yang kini sudah melayakkan diri ke suku akhir.

Martinez memulakan perlawanan ketika Aregntina tewas 1-2 kepada Arab Saudi dalam perlawanan pembukaan, di mana dua jaringannya dibatalkan kerana ofsaid sebelum turut membarisi kesebelasan utama sewaktu pasukannya menewaskan Mexico 2-0.

Bagaimanapun, dia dimasukkan sebagai pemain simpanan ketika perlawanan terakhir peringkat kumpulan menentang Poland dan hanya beraksi selama 20 minit sewaktu menewaskan Australia dalam pusingan 16.

Menjelang aksi suku akhir Argentina menentang Belanda awal pagi Sabtu ini, ejen Martinez mendedahkan bahawa penyerang itu sedang menerima rawatan kecederaan buku lali.

"Lautaro mengambil suntikan kerana dia mengalami kesakitan yang teruk di buku lali," kata Alejandro Camacho kepada La Red.

"Dia berusaha keras untuk menghilangkan kesakitan itu dan selepas ia hilang, dia akan segera ke padang. Martinez sememangnya pemain di tahap tertinggi di dunia.

"Dia mempunyai minda yang amat kuat tetapi golnya yang dibatalkan sewaktu menentang Arab Saudi benar-benar memberikan waktu yang sukar buatnya," katanya.