PIALA DUNIA
Piala Dunia Qatar: Kini Brazil sedar betapa peritnya Itali rasa pada 1994
Kekalahan Brazil melalui penentuan sepakan penalti Piala Dunia kepada Croatia mengembalikan kenangan tentang kekecewaan Itali kepada skuad Selecao menerusi situasi serupa dalam edisi final 1994 buat bekas ketua jurulatih pasukan Azzurri, Arrigo Sacchi.
Juara lima kali itu tersingkir dalam suku akhir dan lawan mereka yang juga finalis 2018 tersebut lebih gemilang dalam penentuan di jarak 12 ela berkenaan untuk kemenangan 4-2 selepas dua gol terhasil dalam tambahan masa di Stadium Education City, semalam.
Sacchi memacu Itali ke perlawanan akhir 1994 di Rose Bowl, Pasadena, di mana Brazil menafikan kejayaan mereka menerusi penentuan sepakan penalti dengan rembatan Franco Baresi dan Roberto Baggio melepasi palang.
Sacchi, 76, bersimpati dengan pasukan kendalian Tite itu sambil turut memuji semangat yang dipamerkan Croatia.
“Rakyat Croatia tidak pernah berputus asa dan tidak gentar untuk berdepan Brazil,” tulisnya dalam ruangan La Gazzetta Dello Sport.
“Mereka lebih bertekad berbanding Brazil yang kini akan memahami betapa peritnya tewas menerusi sepakan sepakan penalti.
"Malangnya, saya tersedar tentang sesuatu mengenainya dan saya mengaku bahawa ketika menonton perlawanan itu di televisyen, saya sempat terkenangkan emosi dan perasaan di Pasadena pada 1994."
Sacchi turut meluahkan pandangannya mengenai kemenangan Argentina ke atas Belanda dan mengkritik pendekatan La Albiceleste yang membazirkan pendahuluan 2-0 sebelum mara dengan penentuan sepakan penalti.
“Saya tidak melihat banyak kualiti dalam separuh masa pertama -- hanya apabila Lionel Messi mula menguasai bola, lampu dihidupkan,” sambungnya.
"Tiada siapa yang mahu mengambil risiko berikutan Argentina meletakkan lima pertahanan, begitu juga Belanda. Pasukan Van Gaal kebiasaannya gemar menyerang, tetapi Belanda cenderung lebih bertahan dalam Piala Dunia kali ini.
"Apabila Argentina mendahului 2-0, Van Gaal melemparkan penyerang tingginya dan bertarung secara fizikal. Ia satu tindakan tepat tetapi Argentina melakukan kesilapan yang tidak seharusnya dimaafkan. Mereka tidak sepatutnya membenarkan Belanda menghampiri gawang dan patut kekalkan bentuk bertahan lebih tinggi di atas padang."