BUNDESLIGA
Piala Dunia Qatar: Henderson mahu England jadikan The Lionesses inspirasi
Jordan Henderson percaya skuad lelaki England perlu mengambil inspirasi daripada kejayaan skuad wanita mereka menjuarai Euro 2022 untuk memburu kejuaraan Piala Dunia Qatar.
The Lionesses kendalian Sarina Wiegman memenangi kejuaraan utama pertama mereka sejak England menjuarai Piala Dunia 1966 selepas menewaskan Jerman 2-1 dalam aksi final pada Julai lalu.
The Three Lions bimbingan Gareth Southgate pula layak ke separuh akhir Piala Dunia Russia pada 2018 sebelum tewas kepada Itali dalam penentuan penalti perlawanan akhir Euro 2020.
Henderson, yang dinamakan dalam senarai akhir 26 pemain England ke Qatar, mahu pasukannya menjadikan kejayaan pasukan wanita mereka itu sebagai satu inspirasi sebelum memulakan kejohanan kali ini.
"The Lionesses telah menjalankan tugas yang amat baik dan seluruh negara ini berada di belakang mereka," katanya kepada BBC.
"Harap-harap kami dapat mengambil inspirasi dan mempamerkan prestasi seperti mereka.
"Jika kami dapat melakukannya, saya pasti kami akan memperoleh kejohanan yang baik," katanya.
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
The Three Lions akan memulakan saingan Kumpulan B dengan berdepan Iran malam esok sebelum bertemu Amerika Syarikat dan Wales bagi melayakkan diri ke pusingan kalah mati.